Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Jabatan Pendidikan Labuan Ambil Langkah Tangani Kesihatan Mental Warga Pendidik

By 12 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Azri Onn

LABUAN, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendidikan Labuan sentiasa mengambil pelbagai langkah dan pendekatan untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan warga pendidik.

Menurut Pengarahnya Yusup Mohamad, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental sebagai isu yang terpencil suatu ketika dahulu kini menjadi cabaran dan isu yang boleh menggugat kredibiliti dan prestasi kerja.

Yusup Mohamad.

Yusup Mohamad.

“Setiap masa kami sentiasa mencari pendekatan untuk memudahkan apa juga urusan di peringkat sekolah dan jabatan dengan mencari kaedah terbaik menangani cabaran tersebut secara bersama.

“Sektor Pendidikan Islam mengetengahkan Program Bacaan Yaasin dan Doa Munajat setiap malam, Bacaan Zikir Al Mathurat setiap pagi sebagai langkah mengukuhkan iltizam kerohanian dalam menghadapi pendemik berpaksikan rahmat dan inayah ketuhanan.

“Manakala Sektor Psikologi dan Kaunseling melaksanakan Program Minda Sejahtera melalui soal selidik Stress, Anxiety dan Depression (eDASS) secara dalam talian dan mengurusetiakan Program Warga Prihatin sebagai saluran menghulurkan bantuan dengan kadar termampu sebagai sokongan emosi dan psikologi kepada warga pendidikan yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya semasa berucap pada Program Motivasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Guru bertajuk “Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa” anjuran Jabatan Pendidikan Labuan dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Labuan yang dijalankan secara maya, semalam.

Sektor Pembangunan Murid pula katanya melancarkan Program Solidariti Hamparan Kasih dengan tumpuan khusus kepada murid-murid yang terkesan dan ditimpa musibah seperti kehilangan ibu bapa akibat COVID-19, kebakaran dan kemalangan.

“Sektor-sektor yang lain juga menjadi peneraju dan sokongan kepada pelaksanaan program pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi kepada inisiatif jabatan dalam mendepani kesukaran kemelut pandemik ini,” ujarnya.

Kamariah Salim.

Kamariah Salim.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Kamariah Salim berkata, dalam mendepani pandemik COVID-19, guru perlu ada tambah nilai dalam penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini.

“Guru bukan sahaja memerlukan kemahiran ICT, kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pengajaran tetapi juga perlu berupaya mengawal emosi ketika berhadapan dengan pelbagai isu.

“Sebagai warga pendidik kita memerlukan kecekalan hati, bersabar, sentiasa tabah dan bersemangat dalam mendidik generasi kini melalui norma baharu di samping mengurus keluarga sendiri yang juga berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Dr. Huzili Hussin.

Dr. Huzili Hussin.

Ceramah motivasi yang dihadiri kira-kira 150 orang warga pendidik itu disampaikan oleh Ketua Pusat Kecemerlangan, Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis Profesor Madya Dr. Huzili Hussin yang juga Pakar Motivasi Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) Malaysia.

-RI

Tinggalkan komen anda