
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)/Mohd Khairul Nizam Yunus (Seremban)
KUALA PILAH, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Biarpun melalui episod terpaksa tinggal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dari 31 Mei hingga 13 Jun yang lalu, ia tidak melunturkan semangat penduduk di Rumah Rakyat Juasseh untuk memeriahkan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.
Menurut Samsiah Sidek, 46, PKPD yang dijalani oleh penduduk di tiga buah taman di Juasseh Pekan ini, tidak lama dahulu, memberikan mereka satu semangat baharu untuk sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memerangi COVID-19.
“Kami sudah tidak sanggup lagi untuk hidup berkurung, tidak boleh ke mana-mana semasa PKPD, semoga virus ini cepat hilang dari muka bumi Malaysia ini,” ujarnya.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, ketika Fasa Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 ini, kita masih lagi belum menang untuk memerangi virus yang tidak nampak pada mata kasar ini.
“Kita perlu berjuang melawan habis-habisan virus yang tidak nampak ini, dengan menjaga SOP yang telah ditetapkan, seperti memakai pelitup muka, jaga penjarakan, kerap mencuci tangan serta menjaga kebersihan.
“Dalam bulan Ogos tahun ini, kita menyambut dua sambutan, Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Maal Hijrah 1435 yang disambut pada hari ini, jihad melawan COVID-19, adalah satu jihad kemerdekaan yang dinanti-nantikan oleh kita semua,” katanya ketika ditemui semasa Sesi Hijrah Sihat Merdeka Sepakat@Komuniti Juasseh Pekan, di sini semalam.
Turut serta, Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Pilah Abdul Khalid Ujang dan Pengerusi Persatuan Amal dan Kebajikan Al-Baasith Negeri Sembilan Khairul Nizam Khairuddin.
-FF