
Laporan/foto: Ahmad Idham Abd. Hamid/Rajeswari Anbazagan
KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP) dalam usaha menyuntik semangat patriotik dalam kalangan penghuninya menjelang ulangtahun sambutan Hari Kebangsaan negara.
Pengarahnya, Nurshuhaila Abdul Rahman, berkata kerjasama tersebut merupakan inisiatif yang dilakukan pihaknya bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 bersama 125 orang kliennya.
“Aktiviti-aktiviti bertemakan kemerdekaan telah kita gerakkan sejak pertengahan Ogos untuk kita semarakkan semangat patriotik dan cintakan negara.
“Dengan kolaborasi bersama JaPen WPKLP, kemeriahan sambutan program pada tahun ini lebih dirasai apabila kita dapat menambahkan lagi pertandingan-pertandingan bertemakan kemerdekaan,” katanya ketika merasmikan Program Merdeka@Komuniti Bersama Komuniti PUSPEN dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat PUSPEN 2021 di Dataran PUSPEN Sungai Besi, di sini hari ini.
Pada program tersebut, Pegawai Penerangan Bukit Bintang, Seputeh dan Putrajaya, Azri Zainal Abidin turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada warga PUSPEN sebagai simbolik meraikan Bulan Kebangsaan.
Menurut Nurshuhaila, PUSPEN Sungai Besi yang telah dibuka pada tahun 1984 merupakan satu daripada 10 buah PUSPEN di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menerima kemasukan penghuni atau dipanggil klien secara sukarela.
“Antara perkhidmatan yang ditawarkan di PUSPEN Sungai Besi adalah rawatan serta pemulihan dadah mengikut aspek klinikal dan psikososial selain menjadi tempat rujukan dan advokasi para klien terdahulu,” katanya.

Gimik perasmian dan deklamasi sajak kemerdekaan telah dipersembahkan oleh para klien kepada hadirin Program tersebut.
Sementara itu, seorang klien Daniel Ahmad (bukan nama sebenar) menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat bermakna buat dirinya kerana dapat meraikan bersama rakan-rakan yang lain dalam suasana yang penuh sederhana tetapi meriah.
“Sebelum ini kami tidak nampak kepentingan kerja berpasukan dan semangat cintakan negara, tetapi dengan adanya program sebegini, kami lebih bersemangat demi memastikan kemerdekaan tanah air akan sentiasa terpelihara,” katanya.
-ZS-