
Laporan/foto: Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Kompleks Masjid Nurul Hikmah yang terletak di Jalan Khidmat Bukit Padang, menyediakan fasiliti bertaraf lima bintang demi keselesaan pengunjung yang mengimarahkan masjid tersebut.
Pengerusinya Ir. Osman Ahmad, berkata masjid berusia lebih 30 tahun itu kini mempunyai deretan bazar bagi mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk setempat selain taman kanak-kanak untuk memudahkan ibu bapa beribadah dengan tenang.
“Persekitaran yang moden, bersih dan selesa kepada pengunjung dan peniaga merupakan tarikan utama kompleks ini.
“Ia juga dilengkapi dengan dewan serbaguna yang boleh memuatkan sehingga 200 orang dalam satu-satu masa selain bilik mesyuarat bagi mengadakan program atau aktiviti anjuran masjid dan agensi luar.
“Dalam dewan tersebut turut dilengkapi dengan kemudahan kerusi, meja, penghawa dingin dan alat siaraya di samping membuka penyewaan kepada agensi luar dengan kadar sewaan yang tertentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kompleks tersebut, di sini baru-baru ini.
Menurut Osman, pihaknya juga sedang menaik taraf masjid berkenaan dengan menitik beratkan aspek kebersihan yang menjadi tunjang utama kemudahan seperti tempat mengambil wuduk yang selesa dan mesra pengguna terutamanya kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
“Di sini juga kami menyediakan kemudahan untuk kegunaan seisi keluarga seperti bilik mandi, bilik menukar lampin bayi serta tempat bertayamum sekiranya tiada bekalan air.
“Kita juga sentiasa memastikan tandas di masjid ini sentiasa bersih dan kondusif yang mana ia dilengkapi dengan kelengkapan asas tandas moden seperti tisu, berjubin, alat pengering tangan dan kaki, mesin penyahbauan, pewangi, sabun dan aksesori lain.
“Kemudahan tempat letak kenderaan yang mencukupi dan dewan solat yang selesa menjadi pelengkap faktor orang ramai datang memakmurkan rumah ibadah tersebut,” katanya.
Tambah Osman lagi, padang sasar memanah turut disediakan bagi membolehkan orang ramai mengikuti aktiviti tersebut melalui Kelab Memanah Tradisional Nurul Hikmah.
“Kelab ini diwujudkan bagi membangunkan sukan sunnah dan keahlian terbuka seawal umur sembilan tahun ke atas dan tiada had umur maksima.
“Selain itu, kompleks ini juga dalam proses untuk membuka sebuah hotel tidak lama lagi dan pembukaannya tertangguh disebabkan pandemik COVID-19, justeru saya berharap agar masyarakat sekeliling cakna dengan kemudahan yang disediakan di kompleks ini dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” jelas Osman yang juga merupakan pengerusi masjid paling lama di negara ini iaitu berkhidmat selama 26 tahun.
Sepanjang pandemik rumah ibadah tersebut turut menyediakan bank makanan dan bantuan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan dan telah memberi manfaat kepada lebih 2000 keluarga sekitar daerah itu.
-RI