
Laporan/foto: Marina Hila Idris (Klang)/Hazlina Tajuddin (Petaling)
KLANG, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 12 buah kenderaan menyertai konvoi Kibar Jalur Gemilang sempena Program Merdeka@Komuniti dan Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Klang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.
Pegawai Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor, berkata program tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti rakyat melawan pandemik COVID-19.
“Sebagai penjawat awam, kita harus membuktikan dalam apa jua keadaan adalah menjadi keutamaan kita untuk terus melaksanakan tugas memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat bersesuaian dengan tema Hari Kemerdekaan ke-64, ‘Malaysia Prihatin’.

Mohd Zainal Mohd Nor semasa merasmikan Program Merdeka@Komuniti Pelancaran Bulan Kebangsaan Daerah Klang.
“Tema ‘Malaysia Prihatin’ membawa maksud kebersamaan rakyat berganding bahu memerangi pandemik COVID-19 tanpa mengira status ideologi politik,” katanya semasa merasmikan Program Merdeka@Komuniti dan Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Klang di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, di sini semalam.
Katanya, diharapkan agar program kenegaraan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan akan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di daerah Klang.

Ali Suhaili (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Mohd Zainal Mohd Noor semasa upacara pelepasan konvoi.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Negeri Selangor Ali Suhaili, merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah atas usaha yang dilaksanakan oleh Pejabat Penerangan Daerah Klang mengadakan konvoi Kibar Jalur Gemilang.
“Jalur Gemilang adalah lambang maruah dan daulat negara yang harus diangkat bukan sahaja pada hari Merdeka tetapi pada setiap masa.
“Inilah tempat untuk kita rakyat Malaysia menumpahkan sepenuh rasa cinta dan sayang yang mendalam kepada negara ini.
“Tidak ada negara lain bagi kita, inilah satu-satunya tempat bagi rakyat Malaysia dan itu yang harus ditanam dalam diri tanda kecintaan kepada negara.
“Tanda kasih sayang dan kecintaan kepada negara harus dizahirkan dengan menghormati Jalur Gemilang dan juga lagu Negaraku,” jelasnya.
-RI