
Laporan/foto: Norlida Abdullah (Kulai)
KULAI, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Konvoi Merdeka@Komuniti anjuran Pejabat Penerangan Daerah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kulai telah melaksanakan sesi jelajah Pegawai Daerah Kulai ke beberapa lokasi di sekitar daerah ini bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan.
Menurut Pegawai Daerah Kulai Zainor Adani, memandangkan negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19, terdapat beberapa perubahan pelaksanaan program mengikut kesesuaian keadaan semasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Jika sebelum ini Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dijalankan secara meriah namun pada tahun ini, kami mengambil inisiatif untuk datang sendiri ke premis-premis terpilih di daerah ini bagi menyerahkan Jalur Gemilang untuk dikibarkan.
“Kembara ini akan diteruskan dengan sesi penyerahan Jalur Gemilang ke beberapa buah agensi kerajaan, swasta dan seterusnya mukim-mukim di daerah ini dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada program Konvoi Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Kulai di Bangunan Pejabat Kerajaan Daerah, di sini semalam.
Tambah beliau, memandangkan sekolah masih belum dibuka, suasana menyambut Bulan Kebangsaan kelihatan agak suram berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Saya berharap dengan adanya program konvoi merdeka ini, ia sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat orang ramai untuk menyambut Bulan Kebangsaan dengan penuh semangat patriotik walaupun negara ketika ini masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.
“Saya menyeru masyarakat agar mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, tempat kerja atau kenderaan mereka bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara,” ujarnya.
-NI-