Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Labuan Contoh Terbaik Terjemah ‘Malaysia Prihatin’ dalam Tangani COVID-19 – Bashir

By 14 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Labuan merupakan contoh terbaik menterjemahkan konsep ‘Malaysia Prihatin’ dalam usaha menangani penularan COVID-19.

Menurut Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, kerjasama semua pihak berhasil mengeluarkan pulau itu daripada satu krisis penularan COVID-19 yang agak kritikal dalam beberapa bulan yang lalu.

“Wilayah Persekutuan Labuan sudah pun berjaya memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 4 Ogos lalu, ini adalah hasil daripada kemuafakatan seluruh jentera kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Labuan yang teguh berganding bahu memerangi penularan COVID-19 di wilayah ini.

Ahmad Jawila (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Rithuan.

Ahmad Jawila (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Rithuan.

“Kesepaduan yang erat ini amat selari dengan semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’ yang melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya semasa berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Labuan di Ibu Pejabat Polis Labuan, di sini hari ini.

Beliau mengajak masyarakat untuk mengambil semangat kemerdekaan negara yang ke-64 tahun ini sebagai azimat untuk terus komited berjuang bagi memerdekakan negara terutamanya Labuan dari cengkaman COVID-19.

“Kejayaan hari ini hanyalah satu permulaan perjalanan baharu yang masih panjang untuk kita lalui bersama, suka untuk saya mengingatkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi serta semua usaha untuk menambah baik situasi kini terus diperhebatkan,” jelasnya.

Laungan Merdeka daripada tetamu-tetamu jemputan di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

Laungan Merdeka daripada tetamu-tetamu jemputan di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk terus menghayati dan menzahirkan rasa cinta kepada negara seperti dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga.

“Kibarlah Jalur Gemilang dengan rasa kemegahan dan kebanggaan, kerana di bawah kibaran bendera keramat itulah kita hidup membangun sebagai sebuah negara yang berdaulat dan beridentiti sekaligus menjadi simbol perpaduan serta kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia.

“Pertahankanlah kemerdekaan ini dengan berfikir dan bertindak sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa besar, jauhi pertelingkahan, suburkan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum, kerana itulah perisai yang paling ampuh dalam mendepani pelbagai liku dan ranjau yang menanti kita di hari muka,” katanya lagi.

Rithuan (paling kiri), Bashir (dua dari kiri) bersama Ahmad Jawila melakukan pelepasan Konvoi IOW Merdeka Jabatan Penerangan Labuan.

Rithuan (paling kiri), Bashir (dua dari kiri) bersama Ahmad Jawila melakukan pelepasan Konvoi IOW Merdeka Jabatan Penerangan Labuan.

Pada program itu beliau turut mengikuti acara menaikkan Jalur Gemilang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan dan menyertai Konvoi IOW@Merdeka bagi menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua-Ketua Kampung di bawah Sub Zon satu dan dua.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, Ketua Polis Daerah Labuan Supt. Ahmad Jawila, Ketua-Ketua serta wakil-wakil agensi kerajaan.

Bashir menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ketua Kampung Pantai mewakili SubZon 1.

Bashir menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ketua Kampung Pantai mewakili SubZon 1.

-RI

Tinggalkan komen anda