
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki bertindak menyerang dua pekerja sebuah pasar raya di Taman Perwira, di sini selepas menyangka bahawa teman wanitanya diganggu pekerja berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata kejadian dilaporkan berlaku semalam sekitar pukul 1.30 tengah hari sebelum laporan polis dibuat 5.44 petang pada hari sama.
“Kejadian dipercaya berpunca apabila pengadu (mangsa) yang merupakan pekerja stor berusia 20 tahun itu menegur seorang wanita yang dilihat berdiri berhampiran premis berkenaan serta menyuruh wanita itu berteduh kerana berdiri di tempat panas.
“Wanita itu telah mengadu kepada teman lelakinya yang secara tiba-tiba datang ke arah pengadu dan terus menyepak kepala pengadu dan menendang seorang lagi rakan pengadu di bahagian dada.
“Selepas kejadian lelaki tersebut terus beredar dan punca kejadian disyaki berlaku salah faham antara pengadu dan teman lelaki wanita tersebut,” katanya menurut kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengadu mengalami kesakitan di bahagian dada sementara rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan dan pihak kami juga menerima dua lagi laporan polis.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan polis,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit dan satu saat yang memaparkan seorang lelaki bertindak menyerang dua orang pekerja pasar raya yang sedang berehat di luar premis.
-RI