Skip to main content
Berita TengahMAPerak

Malam Ambang Maal Hijrah Disambut Penuh Keinsafan

By 10 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)

TAIPING, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Bertemakan “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”, majlis sambutan Malam Ambang Maal Hijrah 1443H disambut dengan penuh keinsafan dan sederhana serta serentak di semua daerah di negeri Perak bagi menyambut tahun baharu mengikut kalendar Islam.

Pegawai Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Taiping Muhamad Azian Mat Isa, berkata Program Sambutan Malam Ambang Maal Hijrah berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Program yang berlangsung pada malam ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah.

“Antara pengisian program termasuklah bacaan doa akhir tahun, doa pembukaan awal tahun 1443H, solat maghrib dan solat hajat bersempena dengan Tahun Baharu Islam.

“Program juga diteruskan lagi dengan acara bacaan yaasin dan tahlil bagi memohon keamanan dan kesejahteraan daripada Allah,” katanya.

Alunan bacaan doa penutup akhir tahun dan pembukaan awal tahun 1443H yang diketuai oleh Ustaz Fakharuddin Parazi.

Alunan bacaan doa penutup akhir tahun dan pembukaan awal tahun 1443H yang diketuai oleh Ustaz Fakharuddin Parazi.

Sambutan yang diterima dilihat amat mengalakkan daripada penduduk setempat dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Muhamad Azian juga menzahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membenarkan orang awam yang telah lengkap suntikan vaksin untuk bersama-sama melakukan aktiviti keagamaan di sini.

“Pihak masjid juga telah merancang beberapa aktiviti keagamaan yang akan dijalankan seperti program pengimarahan masjid termasuk kuliah mengaji, solat berjemaah dan sebagainya.

“Pihak masjid sentiasa bersiap siaga untuk menangani wabak virus COVID-19 kerana hampir dua tahun wabak ini menghuni muka bumi dan kita mengharapkan supaya virus ini cepat menghilang agar sama-sama dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti dulu,” ujarnya ketika ditemu ramah setelah selesai program di Masjid Daerah Taiping, malam tadi.

Aktiviti bacaan yaasin dan tahlil dilakukan oleh penduduk setempat yang hadir bagi program Sambutan Malam Ambang Maal Hijrah.

Aktiviti bacaan yaasin dan tahlil dilakukan oleh penduduk setempat yang hadir bagi program Sambutan Malam Ambang Maal Hijrah.

~RJ~

Tinggalkan komen anda