
Laporan/foto: Siti Noorezrin/Muhammad Naim (Jempol)
JEMPOL, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Kehadiran ‘monyet’ dan ‘beruang’ di perkarangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Lui Selatan menceriakan suasana dalam kalangan petugas dan penerima vaksin di sini.
‘Monyet’ dan ‘beruang’ yang dimaksudkan adalah penerima vaksin yang memakai kostum tersebut yang hadir di PPV berkenaan bagi mendapatkan suntikan vaksin dos pertama mereka yang merupakan idea daripada dua sahabat iaitu Muhamad Iqram Anuar Gani, 35, dan Faizal Adnan, 38.
Menurut Faizal, mereka ingin menceriakan keadaan supaya penerima vaksin tidak merasa takut dan gemuruh ketika menerima vaksin.
“Kami sedar ramai pastinya gemuruh untuk divaksin dan dengan kelainan yang kami bawakan sekurang-kurangnya kami dapat menghiburkan mereka serta menceriakan petugas kesihatan yang bertungkus-lumus setiap hari menjalankan aktiviti yang sama mencucuk orang,” katanya ketika ditemui di PPV tersebut, di sini semalam.
Faizal dari Felda Lui Selatan dan sahabatnya dari Felda Lui Barat bercadang untuk mengenakan kostum yang lain untuk vaksin dos kedua nanti.
“Apabila orang ramai yang nampak kelibat kami teruja dan mengambil peluang bergambar kenangan menambah lagi keinginan kami untuk menceriakan semua.
“Walaupun mengeluarkan duit poket sendiri bagi menyewa kostum ini namun bukanlah halangan kerana tidak salah berkorban wang ringgit untuk menceriakan orang ramai terutamanya barisan petugas hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga bagi menjayakan program imunisasi COVID-19 ini,” katanya.
-FF