Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

MOVAC Permudahkan Proses Vaksinasi Masyarakat Orang Asli

By 9 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Kartina Saruni (Tangkak)

TANGKAK, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan daripada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dalam usaha kerajaan untuk mencapai komuniti berkelompok.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Dr Chong Fat Full, sebelum ini masyarakat Orang Asli kurang berminat untuk mendapatkan suntikan vaksin akibat terpengaruh dengan berita tidak tepat mengenai vaksin yang disampaikan oleh pelbagai pihak.

“Namun setelah diberi penerangan dan penjelasan mengenainya, mereka akhirnya berminat untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dan sedar tentang betapa pentingnya menerima vaksin terbabit,” katanya semasa ditemui pada Program MOVAK di Perkampungan Orang Asli Sungai Mersing, di sini semalam.

Tambahnya, program ini yang merupakan inisiatif Jabatan Perpaduan Negeri Johor dengan kerjasama Pejabat Kesihatan dan Pejabat Daerah Tangkak dilaksanakan bagi melancarkan lagi proses pemberian vaksin COVID-19 kepada kumpulan sasaran.

Penyelaras Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Abdul Zaidi Ibrahim, memaklumkan seramai 128 Orang Asli di kawasan tersebut telah menerima suntikan dos pertama yang melibatkan hampir 80 peratus penduduk Orang Asli di daerah ini.

“Program MOVAK ini juga dilaksanakan bagi memudahkan para penduduk  untuk menerima suntikan vaksin berikutan sebelum ini mereka menghadapi masalah kemudahan pengangkutan untuk hadir menerima suntikan di Dewan Jubli Intan Tangkak,” ujarnya.

Seorang penerima vaksin Veronika Sintin, 26, yang ditemui berkata beliau berasa sedikit gusar kerana sebelum ini sering membaca dan menerima maklumat yang tidak sahih tentang kesan selepas menerima suntikan vaksin seperti serangan penyakit jantung dan pelbagai simptom penyakit lain.

“Setelah diberi penerangan yang jelas oleh para petugas program MOVAK pada hari ini, saya mula faham dan bersedia untuk menerima suntikan vaksin seperti yang disarankan oleh kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Tok Batin Aslin Kampung Sungai Mering yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan terutama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di atas inisiatif yang diambil bagi manfaat masyarakat Orang Asli di sini.

“Saya berharap semua masyarakat Orang Asli di daerah ini yang layak agar segeralah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Mereka tidak perlu takut, bimbang dan terpedaya dengan cerita palsu mengenai vaksin yang disediakan oleh kerajaan kerana ini merupakan langkah terbaik bagi memastikan keselamatan diri, ahli keluarga dan komuniti terjaga,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda