
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang perlu dipupuk dalam diri setiap rakyat Malaysia dan diterjemahkan dengan lebih meriah dengan ketibaan sambutan Hari Kebangsaan, esok.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman Khairuddin Ahmad, ketika Program Agihan Jalur Gemilang di Pasar Besar Kemaman, berkata mengibarkan bendera negara dan menyanyikan lagu patriotik adalah amalan yang dilakukan bagi menzahirkan perasaan gembira menyambut kemerdekaan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen, Khairuddin Ahmad ketika membuat hebahan di Pasar Besar Kemaman, semalam.
“Masyarakat yang memahami erti kemerdekaan akan menzahirkan semangat mengibarkan lambang negara iaitu Jalur Gemilang bermula seawal bulan Ogos lagi.
“Pelbagai cara diambil oleh masyarakat dalam menunjukkan semangat cintakan negara seperti memasang dan menghias Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan dan kenderaan,” katanya, semalam.
Dalam pada itu, Khairuddin turut menyeru orang ramai terutamanya penduduk di daerah ini untuk terus mendaftar dan melengkapkan diri dengan dua dos vaksin bagi mengelakkan daripada dijangkiti wabak COVID-19.
Nurhidayah Abdullah, 41, seorang peniaga, berkata dia teruja kerana masih dapat mengibarkan Jalur Gemilang pada musim pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir ini.

Nurhidayah teruja kerana dapat mengibarkan Jalur Gemilang dalam suasana pandemik yang masih belum berakhir.
“Tahun ini, kita masih tidak boleh menyambut merdeka secara besar-besaran dengan berhimpun tetapi kita masih boleh sambut merdeka dengan memasang bendera di rumah selain menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan secara dalam talian,” katanya.
Bagi Ishak Deraman, 47, seorang peniaga pula berkata dapat mengibar Jalur Gemilang memberi suatu perasaan yang berbeza kepada dirinya.
“Jalur Gemilang mempunyai aura yang tersendiri yang mampu membangkitkan semangat patriotik dalam diri dan mencetuskan rasa bangga menjadi anak Malaysia,” katanya.
-ii-