Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Peningkatan Harga MSM Dorong Kutipan Duti Eksport Melonjak kepada RM564.82 Juta

By 18 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: KPPK

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Kutipan duti eksport minyak sawit mentah (MSM) dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini dianggarkan berjumlah RM564.82 juta melonjak lima kali ganda berbanding tempoh sama pada 2020 sebanyak RM111 juta.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam kenyataan hari ini berkata ini susulan daripada peningkatan harga MSM dalam tempoh tersebut.

“Bagi memastikan peningkatan harga MSM dirasai semua kelompok masyarakat dan meminimumkan kesan negatif, kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme untuk memastikan kebaikan kenaikan harga berkenaan dalam pasaran dunia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada masa depan.

“Contohnya syor mewujudkan satu mekanisme khas untuk mengatasi isu kenaikan harga minyak tidak bersubsidi,” katanya.

Di samping itu, katanya kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanya RM165 juta pada 2020.

“la berikutan kenaikan harga MSM yang melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021 dan anggaran harga MSM melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember 2021,” katanya.

Katanya peningkatan harga MSM ini dilihat memberi lebih kesan positif kepada masyarakat dan secara prinsipnya, setiap kenaikan harga MSM di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara dan pendapatan pekebun kecil sawit serta kenaikan harga runcit minyak masak.

“KPPK percaya sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit akan terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara,” katanya.

Pada 2020, Malaysia mengeksport sebanyak 17.40 juta tan MSM atau 18.3 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia.

Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara juga meningkat kepada RM73.25 bilion pada tahun lalu berbanding RM67.55 bilion pada 2019.

Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 bernilai RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.

Sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lalu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda