Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Penyelidik MPOB Cipta Teknologi Pemunggahan Buah Tandan Segar

By 19 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta teknologi merangkumi alat pemunggahan buah tandan segar (BTS) mudah alih yang berupaya mempertingkat usaha pemindahan buah sawit ke dalam lori secara lebih cekap dan cepat.

Ketua Pengarah Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata hasil usaha kumpulan penyelidik diketuai oleh Mohd Ramdhan Mohd Khalid yang bermula sejak 2017, telah dilancarkan di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi MPOB 2021.

Beliau berkata, teknologi tersebut merangkumi rekaan casis serta sistem hidraulik bagi tujuan pemunggahan muatan daripada jentera pengangkut bersaiz kecil serta mampu mengangkut muatan buah sawit sehingga 400 kilogram.

“Menurut kajian, penggunaan alat ini dapat menyumbang kepada peningkatan operasi pemindahan buah sawit ke dalam lori sehingga 35 peratus lebih cepat berbanding cara manual.

“Kaedah pemunggahan buah sawit yang lebih cekap mampu mengurangkan proses pengendalian berulang selanjutnya dan kerosakan buah sawit serta menyumbang kepada peningkatan kualiti minyak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Parveez berkata teknologi itu juga dapat mengurangkan beban pekerja ladang sawit bagi aktiviti memunggah BTS.

“Penggunaan jentera ladang seperti ini juga merupakan antara galakan untuk menarik minat warga tempatan bekerja di ladang sawit. Malah, alat yang dijana oleh kuasa bateri ini dapat menyumbang kepada penggunaan teknologi hijau di sektor ladang sawit,” katanya.

Menurut Ahmad Parveez, MPOB kini dalam proses pemindahan teknologi tersebut melalui perjanjian pelesenan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda