
Laporan/foto: Noor Suraya Zainal/Kuan Tat Seng (Daerah Timur Laut)
BATU FERRINGHI, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Program perintis PRIHATIN merupakan bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar berikutan pandemik COVID-19, memanfaatkan 200 isi rumah dilaksanakan di Kampung Chetty di sini.
Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Chetty Batu Fringghi Frankie Lim Leng Kwan, berkata 200 isi rumah yang menerima PRIHATIN dipilih daripada keluarga miskin bandar.
“Penerima yang terkesan akibat pandemik COVID-19 diberi bantuan barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur, gula dan lain-lain lagi.
“KRT telah memainkan peranan dalam memastikan golongan masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dapat diberi bantuan sewajarnya.
“KRT telah mengambil inisiatif untuk membantu keluarga yang memerlukan bagi kelangsungan hidup mereka akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut, baru-baru ini.
Penerima bantuan Muniamah Karuppiah, 59, berkata bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk meneruskan kelangsungan kehidupan untuk keluarga yang agak terkesan setelah suaminya kehilangan pekerjaan.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana KRT dan NGO banyak membantu kami tanpa mengira bangsa mahupun agama,” katanya.

Penerima bantuan Muniamah Karuppiah mendapat bantuan barangan seperti beras, minyak masak, telur, gula dan lain-lain lagi.
Pada masa sama, pemimpin tempatan di kawasan Bukit Bendera Hng Chee Wey, berkata fokus kita sekarang ini adalah bagi membantu pada sesiapa yang memerlukan dan terkesan sejak negara kita dilandai lengkuk COVID-19 ini.
Menurut Hng, bantuan barangan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam keadaan pandemik kini dan boleh melegakan isi rumah walaupun ia tidak bertahan lama.
“Saya mengharapkan juga usaha murni ini akan diteruskan bukan sahaja untuk kebajikan penduduk malahan pada masa yang sama dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” katanya.