
Laporan/foto: Sharifah Ithnin/Muhammad Hafizul Adzahari (Melaka)
ALOR GAJAH, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah menyantuni petugas-petugas kurier dalam daerah sini bagi menghargai pengorbanan mereka yang sanggup menjalankan tugas sewaktu pandemik serta mengedarkan Jalur Gemilang.
Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah Salina Hasan@Abd. Rashid, berkata program bersama petugas kurier cawangan Alor Gajah ini merupakan yang julung kalinya diadakan.
“Petugas kurier ibarat duta kecil kepada Kempen Sambutan Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 kerana mereka menghantar barangan setiap hari ke seluruh Daerah Alor Gajah dan kesempatan ini digunakan bagi memupuk kesedaran masyarakat untuk sama-sama menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan.
“Sebelum ini program kami lebih tertumpu kepada menyantuni petugas barisan hadapan seperti petugas di sekatan jalan raya (SJR), polis dan petugas kesihatan sahaja dan kali ini kami mencari kelainan agar petugas kurier ini rasa seperti dihargai dan gembira dengan kunjungan kami ke premis mereka.
“Program ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang dimana kami menyumbang Jalur Gemilang untuk dipasang di kenderaan kurier yang akan turut sama menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan dan mengajak masyarakat mengibarkan bendera Malaysia,” ujarnya ketika ditemui di salah sebuah syarikat kurier tersebut, di sini semalam.
Menurut Penyelia Gudang salah sebuah syarikat kurier tersebut, Luqman Hakim Ahmad, beliau sangat berterima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana sudi berkunjung ke premis mereka dan mengedarkan Jalur Gemilang dan pek makanan kepada petugas-petugas di sini.
“Setiap hari cawangan ini akan menerima lebih daripada 2000 bungkusan pesanan pelanggan untuk diserahkan terutama di musim pandemik ini, penghantaran meliputi seluruh daerah Alor Gajah dan kami amat teruja apabila ada sumbangan Jalur Gemilang sudah pasti kami akan memasang di kenderaan dengan rasa bangga,” jelas Lukman.
-FF