Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Program Kongsi Kerja, Tawar Peluang Lebih Baik Kepada Kontraktor Johor

By 9 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)/MEDKOM

JOHOR BAHRU, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Kongsi Kerja inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) selaku anak syarikat milik penuh kerajaan negeri dan syarikat konsesi terpilih akan memberi peluang lebih baik kepada kontraktor tempatan untuk terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan di seluruh negeri ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, program ini akan dibahagikan kepada empat fasa yang akan mula dilaksanakan di daerah Johor Bahru manakala fasa seterusnya di beberapa daerah lain di negeri ini.

“Pengagihan pakej kerja kepada kontraktor Johor yang berdaftar di bawah JCCD turut dilaksanakan secara undian yang melibatkan nilai anggaran sebanyak RM44.4 juta untuk keseluruhan program yang mana 396 pakej diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri ini,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Menurut Hasni, ekoran daripada pandemik COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ramai rakyat yang hilang pekerjaan atau diberhentikan kerja oleh pihak majikan.

“Oleh itu, kerajaan negeri menerusi JCCD, mewujudkan inisiatif Skim Kerja Harian (SKH) secara sekali khidmat bagi individu yang terkesan.

“Inisiatif ini bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor yang terkesan menjadi tenaga kerja mahir dan bukan mahir,” katanya.

Program ini juga bakal menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan impak yang positif terhadap golongan kontraktor Johor, khususnya kontraktor G1 dan G2, pembekal serta penduduk sekitar bagi membangunkan semula ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri juga akan terus memastikan lebih ramai kontraktor di negeri ini berada pada tahap kompetensi yang tinggi daripada segi kelayakan teknikal, pengurusan kewangan, pengalaman kerja dan lain-lain kriteria supaya industri pembinaan dapat melahirkan kontraktor yang berwibawa dalam pelbagai bidang,” katanya.

Terdahulu, Hasni melancarkan dan menjalankan undian secara maya untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri di Bangunan Jaafar Muhammad Kota Iskandar, di sini.

-NI-

Tinggalkan komen anda