
Laporan/foto: Noor A’mirah Daman Huri (Kerian)
KERIAN, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) terus giat dilaksanakan dengan menyasarkan masyarakat pelbagai kaum yang berada di pinggir bandar dan jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta golongan warga emas yang uzur dan tidak mampu bergerak ke PPV.
Pengerusi Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Negeri Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri, berkata program ini merupakan sokongan pihak penganjur kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermatlamat mencapai 80% penerima vaksin dalam kalangan penduduk pinggir bandar.
“Pihak kementerian giat turun padang untuk membantu kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok dan pemberian vaksin pada program hari ini juga terbuka kepada penduduk tempatan yang berada di kawasan estet dan ladang di daerah ini,” katanya dalam satu sidang media sempena program di Sekolah Jenis Kebangsaan(Cina) Yu Chai, Kuala Kurau, di sini semalam.
Menurut Yunus, program ini menyasarkan seramai 250 orang penerima di kawasan terlibat dan ia bergantung kepada bekalan vaksin yang disediakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kerian.
“Terdapat penambahan penerima suntikan vaksin pada hari ini dan sebagai makluman program MOVAK ini dijalankan di 10 kawasan secara keseluruhan di negeri ini dengan penglibatan enam daerah bermula 31 Julai 2021 sehingga 24 Ogos 2021.
“Kerajaan Negeri Perak juga akan memberi peluang kepada semua rakyat negeri ini untuk menerima suntikan vaksin secara tanpa janji temu bermula 3 Ogos di semua PPV di Perak.

Golongan emas dan kurang upaya yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin secara walk-in menerusi Program MOVAK.
“Pendaftaran suntikan vaksin secara tanpa janji temu ini akan mengutamakan golongan bermastautin berumur 60 tahun ke atas dan semua penduduk boleh hadir ke PPV terdekat untuk mendaftar serta mendapatkan suntikan vaksin masing-masing,” katanya.
~RJ~