
Laporan/foto : Sheik Amilhisham Sheik Hashim/Abdul Halim Jumat (Jelebu)
JELEBU, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Pegawai Daerah Jelebu Abdul Rahim A. Aziz, mengggesa rakyat Jelebu supaya membudayakan amalan mengibar Jalur Gemilang setiap masa bukan hanya pada bulan kebangsaan sahaja.
“Kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang seharusnya ada dalam diri kita tanpa mengira masa, lebih-lebih lagi dengan ketibaan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Rasa sayangkan negara perlu ada pada diri setiap masyarakat dan terjemahkan perasaan tersebut melalui kibaran Jalur Gemilang,” katanya sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Sepakat Merdeka Daerah Jelebu di Kompleks Pentadbiran Daerah Jelebu, di sini semalam.
Menurut Rahim, kempen kibar Jalur Gemilang di daerah ini disambut secara sederhana dalam norma baharu bersama barisan hadapan yang telah bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab dalam usaha memerangi penularan COVID-19.
Terdahulu, Pegawai Daerah Jelebu bersama-sama Ketua Polis Daerah Jelebu dan Pengarah Penerangan Negeri Sembilan telah memasang bendera kereta di beberapa buah kenderaan jabatan barisan hadapan sebagai simbolik bagi menandakan bermulanya Kempen Kibar Jalur Gemilang di daerah ini.
Menurut Pengarah Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, ‘Malaysia Prihatin’ telah dipilih sekali lagi sebagai tema Hari Kebangsaan yang ke-64 pada tahun ini untuk memupuk kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan melindungi komuniti yang terkesan akibat wabak COVID-19 bawah payung perpaduan.
“Rakyat Malaysia perlu memiliki soladariti dalam menangani cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19 dan masyarakat yang khususnya golongan rentan dilihat semakin terkesan akibat pelbagai kekangan yang wujud pada masa ini.
“Kemerdekaan yang dikecapi akan lebih bermakna sekiranya rakyat Malaysia tidak kira fahaman agama dan politik berganding bahu menyelesaikan kemelut yang melanda,” ujarnya.
Sempena Kempen Kibar Jalung Gemilang ini, Pejabat Penerangan Daerah Jelebu telah mengambil inisiatif dengan turun padang di sekitar Kuala Klawang menjalankan aktiviti Sepakat Merdeka dengan menyerahkan Jalur Gemilang kepada penduduk sekitar bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.
-FF