Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Syukuri Nikmat Kemerdekaan dengan Pelihara Keharmonian

By 31 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Masyarakat diseru untuk memelihara keharmonian negara bagi menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat kemerdekaan serta kebebasan yang dikecapi.

Menurut Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, sebagai umat Islam dan warganegara yang merdeka, rasa syukur itu perlu dizahirkan dengan memelihara keharmonian serta perpaduan rakyat majmuk berbilang kaum, bangsa, budaya, pegangan juga adat resam.

Bashir semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Doa Untuk Malaysia.

Bashir semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Doa Untuk Malaysia.

“Marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian supaya nikmat itu berkekalan,” katanya semasa merasmikan Majlis Doa Untuk Malaysia Sempena Hari Kebangsaan 2021 di Masjid Jamek An-Nur, di sini semalam.

Bashir turut menyeru umat Islam untuk mengisi kemerdekaan negara mengikut ajaran serta cara yang dianjurkan agama.

“Sebagai umat Islam yang beriman, isilah erti kemerdekaan ini dengan acuan Islam kerana Islam adalah agama yang memandu keseluruhan aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara seperti kenegaraan serta pemerintahan,” katanya lagi.

Bashir ( dua dari kanan ) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang wakil agensi petugas barisan hadapan.

Bashir (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang wakil agensi petugas barisan hadapan.

Beliau juga mengajak umat Islam untuk terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terkesan dengan penularan COVID-19 selari dengan semangat tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

“Teruskan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik ini kerana manusia yang beriman mempunyai sifat mengambil berat terhadap keperluan dan kesukaran dialami orang lain terutama sewaktu mereka dalam kesusahan.

“Bersesuaian dengan tema Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’, keprihatinan seluruh rakyat amat jelas kelihatan ketika ramai yang kehilangan ahli keluarga, terputus sumber pendapatan, hilang pekerjaan dan pelbagai dugaan lain yang perlu dilalui dengan penuh kesabaran.

Sekitar seratus jemaah menghadiri Majlis Doa Untuk Malaysia Sempena Hari Kebangsaan 2021.

Sekitar seratus jemaah menghadiri Majlis Doa Untuk Malaysia Sempena Hari Kebangsaan 2021.

“Sifat prihatin perlu terus disemarakkan dalam kehidupan masyarakat agar setiap orang sentiasa cakna terhadap keselamatan antara satu sama lain sekaligus memulihkan semula negara daripada serangan COVID-19,” tambahnya.

-RI

Tinggalkan komen anda