
Laporan/foto: Malini Md Yunos/Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Penerima vaksin yang datang ke Dewan Orang Ramai Pedas Gaing hari ini teruja apabila dimaklumkan mereka akan menerima dos kedua vaksin hari ini dalam bas sempena program outreach Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) menggunakan bas bergerak yang telah diubah suai untuk menjalankan vaksinasi.
Menurut Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Rembau Ashraff Lee Abdullah, seramai 10 orang pegawai dari Klinik Kesihatan Rembau terdiri daripada pegawai perubatan, pembantu perubatan dan juruvaksin bersama 10 orang sukarelawan MyVac KRT Daerah Rembau bertugas pada program MOVAK pada hari ini.
“Seramai 150 orang penerima suntikan vaksin hari ini yang datang daripada pelbagai latar belakang dan bangsa bertuah kerana berpengalaman menerima suntikan dalam bas MOVAK.
“Ianya juga pengalaman menarik selain dapat melihat sendiri kesungguhan kerajaan untuk mempercepatkan proses penerimaan vaksin dalam komuniti dan sasaran untuk mencapai komuniti kolompok dapat direalisasikan segera,” katanya ketika ditemui di Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di dewan tersebut, di sini semalam.
Menurut Ashraff, seramai 150 orang penerima vaksin telah disasarkan janji temu pemberian vaksin dalam program tersebut dan bas dijadikan sebagai PPV komuniti secara mobil bagi memudahkan masyarakat mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Saiful Nizam Md Sari, 48, membawa ayah yang uzur untuk menerima dos kedua vaksin menggunakan kerusi roda terfikir akan kesulitan yang akan dilalui apabila perlu menaiki bas untuk menerima vaksin.
“Apabila sebut ambil vaksin dalam bas saya mula terfikir kesulitan untuk menolak dan mengangkat kerusi roda orang tua kerana bas semestinya bertangga namun sangkaan ternyata meleset kerana bas MOVAK telah diubah suai mesra kerusi roda menjadikan proses suntikan vaksin sangat mudah, cepat dan senang,” katanya.
-FF