
Laporan/foto: Badarudin Shuib/Roslan Yahya (Klang)
KLANG, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 50 orang penduduk Pandamaran Jaya Barat menerima barangan keperluan asas sumbangan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Daerah Klang dan Persatuan Gagasan Warga Klang.
Sumbangan berkenaan antara pengisian Program Sepakat@Komuniti Daerah Klang sempena menyambut Hari Malaysia di samping aktiviti lain seperti hebahan dan konvoi lagu patriotik mengelilingi taman perumahan.
Pengerusi Persatuan Gagasan Warga Klang, Muhamad Hedrin Ramli, 43, berkata pihaknya sememangnya mengalu-alukan aktiviti meraikan Hari Malaysia di kawasan ini.

Pengerusi Persatuan Warga Klang Muhamad Hedrin bin Ramli menyampaikan sumbangan barangan makan kepada Puan Santi a/p Mutusamy.
“Kawasan ini terdiri dari masyarakat berbilang kaum, agama dan peringkat umur begitu bersemangat meraikan aktiviti sambutan Hari Malaysia.
“Sumbangan keperluan asas yang diedarkan kepada penduduk amatlah dihargai memandangkan ramai antara mereka yang pendapatan rendah terjejas ekoran pandemik COVID-19 ini,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan tersebut, di sini semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pandamaran Jaya (Barat) Ahmad Zambri, 45, menghargai sumbangan dari JaPen Daerah Klang dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Kami berharap sumbangan seumpama ini dapat diteruskan memandangkan penduduk sedang menghadapi krisis kewangan akibat kesan pendapatan yang terjejas kerana pandemik COVID-19,” katanya.
-RI