
Laporan/foto: Muhammad Azran Abdul Malek (Melaka Tengah)
BATU BERENDAM, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Basikal yang dahulunya merupakan pengangkutan utama dalam kalangan rakyat biasa kini menjadi barangan bernilai walaupun telah berusia puluhan tahun.
Menurut Pengerusi Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Abdul Khalib, 55, minat yang mendalam terhadap Basikal Tua mendorong menubuhkan Kelab Basikal Tua dan sehingga hari ini kelab tersebut mempunyai seramai 33 orang ahli yang berusia antara 12 tahun hingga 65 tahun.
“Basikal Tua mempunyai nilai nostalgia atau nilai sentimental yang menarik minat pelbagai golongan tanpa mengenal usia, bangsa dan agama.
“Kelab kita mempunyai sebanyak 60 buah basikal tidak termasuk yang disimpan sendiri oleh ahli dan dianggarkan basikal-basikal tersebut berusia antara 50 ke 80 tahun.
“Sebelum virus COVID-19 melanda dunia, kita kerap mengadakan aktiviti kayuhan Basikal Tua di sekitar Bandar Melaka dan antara individu yang sangat menyokong kita adalah Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam semasa zaman beliau memegang jawatan Ketua Menteri Melaka dahulu,” katanya ketika ditemui di Program Sepakat@Komuniti DUN Kesidang di kediamannya, di sini kelmarin.
Ahli Kelab, Johari Ali, 45, berharap dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai kelab kita supaya dapat mengekalkan kesinambungan nostalgia basikal tuan.
“Selain aktiviti dalam Melaka, Kelab Basikal Tua Batu Berendam sering mengadakan kayuhan jemputan diserata negeri malah terdapat juga di luar negara seperti Kelab Basikal Tua Pekan Baru Indonesia,” ujarnya.
-FF