Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Empat Beradik Yatim Piatu Akan Dibantu – Azmin

By 5 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Empat beradik yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19 akan diberi bantuan sewajarnya terutama hal pendidikan.

Mereka adalah Mohamad Faiz Yusni, 16; Nur Sofiya Yusni, 14; Nur Syazwani Yusni, 10 dan Mohamad Fadhil Yusni, 9, telah kehilangan ibu mereka, Salawati Mursal, 41, pada 12 Ogos lalu.

Ia disusuli nenek mereka pula, Rasmi Suun, 68, yang meninggal dunia seminggu kemudian sebelum bapa mereka, Yusni Ibrahim, 54, pada 30 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak masjid akan menjaga kebajikan anak-anak berkenaan untuk meneruskan persekolahan mereka.

“Kes seumpama ini berlaku di mana-mana dan sebagai sebuah kerajaan prihatin kita sentiasa mengambil peduli dan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa.

“Insya-Allah, di Gombak kita memang memberikan tumpuan untuk memastikan kebajikan keluarga dan waris mendapat perhatian.

“Bukan sahaja soal pendidikan tetapi juga soal pekerjaan sekiranya memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni anak-anak tersebut yang kini dijaga datuknya, Mursal Khatib, 70, di Kampung Melayu Sri Gombak, di sini hari ini.

Sementara itu, Mursal berkata, beliau redha dengan ketentuan Allah anak perempuan tunggal, menantu dan isterinya meninggal dunia akibat COVID-19.

“Saya memang tak larat, tapi apakan daya, Allah lebih sayang isteri, anak dan menantu.

“Saya tak berdaya nak sediakan makan minum empat cucu ini, tapi mereka memang sudah biasa dengan saya kerana sejak kecil, sayalah yang ambil mereka di sekolah.

“Sejak kena sakit jantung saya memang tak berdaya, namun bersyukur tiga anak saya yang lain sudi membantu membesarkan anak saudara mereka ini,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda