
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 20 Sep (Malaysiaaktif) – Peralihan Fasa Dua kepada Fasa Tiga dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 17 September lalu di Negeri Terengganu memberi peluang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi Roslee Daud, untuk bertemu dengan masyarakat terutamanya golongan yang kurang bernasib baik menerusi program turun padang Sepakat@Komuniti Daerah Dungun di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Bukit Besi.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Dungun bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah digariskan oleh kerajaan dan kepentingan masyarakat memahami konsep Keluarga Malaysia dalam situasi penularan COVID-19 juga peranan penduduk bagi berdepan dengan fasa endemik COVID-19.
Menurut Roslee, sebelum ini masyarakat hanya dapat dihubungi dengan panggilan telefon kerana keterbatasan untuk bertemu secara bersemuka.
“Peralihan Fasa dua kepada Fasa tiga ini memberi peluang untuk saya bertemu secara terus dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Dalam program ini diadakan penyampaian sumbangan berbentuk keperluan harian kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal dan golongan yang terkesan dengan pandemik,” katanya ketika menyantuni penduduk setempat, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, setiap sumbangan yang diberikan mengandungi barangan keperluan harian seperti susu krimer manis, beras, gula, minyak masak, tepung serta bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia.
Bagi Mohd Sabri Mohd Yatim, 47, salah seorang penerima sumbangan kerana isterinya mengalami strok, berkata program sebegini dapat memberikan mereka semangat untuk meneruskan kehidupan dan bersama bergandingan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan mengamalkan cara hidup yang lebih baik.
Sementara itu, Sunita Ghani, 47, seorang tukang jahit yang ditemui, berkata masyarakat di AMBS kini amat peka dengan keadaan sekarang yang memerlukan kerjasama semua pihak dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk memastikan kesejahteraan hidup.
“Orang kampung kini sudah boleh menjalankan aktiviti eonomi seperti biasa dan yang penting sentiasa patuh dengan arahan pihak berwajib.
Ia juga adalah sebahagian daripada usaha bagi merapatkan hubungan agensi kerajaan bersama masyarakat,” katanya.
-ii-