
Laporan/foto: Siti Rasidah Abd Musa/Marina Hila Idris (Klang)
KLANG, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Persepsi bahawa golongan muda kurang minat menyertai aktiviti berunsur patriotik adalah kurang tepat apabila ramai golongan muda di Flat Seri Perantau yang menyertai program menyemarakkan Jalur Gemilang di kawasan mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Seri Perantau, Sheikh Hanis Al Radi, 55, berkata penglibatan anak-anak muda di kawasan ini telah disemai sejak mereka kecil lagi.
“Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak semasa meraikan aktiviti Bulan Kebangsaan agar sikap itu berterusan sehingga mereka dewasa.Pasukan Konvoi Pemuda Seri Perantau.
“Kita sedar bahawa anak muda mempunyai idea kreatif yang akan memberi kelainan kepada sambutan Bulan Kebangsaan pada setiap tahun.
“Malah, ketika musim pandemik ini pun mereka tetap bersemangat untuk melaksanakan program,” katanya ketika ditemui selepas program konvoi bermotosikal di sekitar kawasan kediaman tersebut, di sini semalam.
Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui Abdul Hamid Ahmad, 35, berkata mereka sangat bersemangat untuk menyertai program tersebut sehingga sanggup memohon izin daripada majikan tempat kerja untuk menjayakannya.
“Kami sedang bekerja tapi kami telah meminta izin dengan majikan masing-masing untuk keluar sebentar bagi menjayakan program ini.
“Kami seronok mengikuti program patriotik kerana pihak persatuan penduduk amat menggalakkan penglibatan kami,” katanya.
-RI