Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

JAS Komited Melaksanakan Protokol Montreal

By 29 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak Hamzah Mohamad, merasmikan Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri yang mana sambutan kali ini memberikan tumpuan kepada peranan Protokol Montreal dalam mengekang perubahan iklim dan membantu meningkatkan kecekapan tenaga di sektor penyejukan yang menyumbang kepada keselamatan sektor makanan selaras dengan tema sambutan ‘Montreal Protocol – Keeping us, our food and vaccines cool’.

“Protokol Montreal merupakan antara perjanjian antarabangsa paling berjaya dalam komitmen negara-negara yang terbabit dalam melindungi lapisan ozon.

“Ozon adalah sebatian yang terdiri daripada tiga atom oksigen setiap molekul yang terbentuk secara semula jadi pada ketinggian 50 kilometer dari permukaan bumi di antara lapisan stratosfera dan mesosfera yang berupaya menyerap radiasi ultra-lembayung atau UV-B dan ia juga boleh terbentuk dipermukaan bumi seperti melalui asap kenderaan,” katanya ketika merasmikan sambutan tersebut secara dalam talian, semalam.

Menurut Hamzah, musuh utama lapisan ozon adalah klorofluorokarbon (CFC) iaitu gas buatan manusia yang dihalogenkan dan boleh sampai ke lapisan ozon.

Al Hafiz Che Harun pemenang tempat pertama "Ozon For Life - Virtual Run".

Al Hafiz Che Harun pemenang tempat pertama ‘Ozon For Life – Virtual Run’.

“Bahan ini akan menguraikan molekul ozon dan menghasilkan klorin, dan sekiranya lapisan ozon musnah atau tiada, banyak kehidupan di bumi akan pupus termasuk manusia,” katanya.

Sempena dengan Sambutan Hari Ozon Sedunia, JAS Sarawak turut menganjurkan dua aktiviti utama iaitu ‘Ozone For Life Virtual Run’ dan Operasi Pemeriksaan Bersepadu Kenderaan Bermotor (Ops Gerak) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

“Aktiviti larian ‘Ozone For Life Virtual Run’ dianjurkan bagi mempromosikan gaya hidup lestari dalam aspek penjagaan alam sekitar kepada masyarakat melalui kegiatan sihat tanpa menyumbang kepada pelepasan bahan pemusnah lapisan ozon.

“Program Ops Gerak dijalankan bagi memastikan pelepasan asap hitam daripada ekzos kenderaan dapat mematuhi had pelepasan yang ditetapkan di bawah Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996,” kata Hamzah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda