
Laporan/foto: Mohammad Zaidy/KKMM (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelancaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa, berkata KKMM telah menerima maklum balas daripada orang ramai yang inginkan kesalinghubungan lebih baik, harga mampu milik dan memastikan penyampaian lebih berkualiti lebih-lebih lagi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan peningkatan mendadak penggunaan internet untuk pelbagai urusan seperti aktiviti pembelajaran, e-dagang dan juga hiburan.
“Bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia, ia adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah dan dengan RM10 sebulan (dibayar untuk tiga bulan sebanyak RM30), mereka akan mendapat data 20GB untuk tiga bulan.
“Pakej tersebut juga bagi boleh membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses internet serta memiliki peranti pintar mampu milik terutamanya golongan yang kurang berkemampuan di mana pakej diskaun itu akan bermula pada 15 Oktober 2021, selama enam bulan dan tempoh pelanjutan dibincang sebelum dua bulan tamat promosi,” katanya pada sidang media pengumuman pakej diskaun perkhidmatan telekomunikasi untuk pelajar dan keluarga di Wisma Radio Angkasapuri, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Annuar, dengan data 1GB (jumlah 90GB) percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta internet asas tanpa had, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data.
“Bagi data 20GB misalannya, ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti muat turun video ataupun permainan dalam talian dan membantu pengguna untuk merehatkan diri dengan hiburan.
“Pakej ini memudahkan pelanggan remaja dan pelajar yang kini tidak perlu lagi menambah nilai setiap bulan di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar,” katanya lagi.
Rakyat Malaysia boleh memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan penggunaan suara ke atas LTE (VoLTE) secara percuma melalui Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan berharap agar lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE untuk melengkapkan khidmat internet mereka.
“Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan. Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama.
“Kerajaan bertanggungjawab memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses pada kos yang berpatutan untuk memanfaatkan internet dan beliau telah bertemu dengan syarikat telekomunikasi untuk berbincang mengenai cara-cara membantu rakyat dalam jangka masa pendek,” katanya.
-ZS-