
Laporan/foto: Mohd Saipul Nizam Ibrahim/Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 5 Sept (Malaysiaaktif) – Penularan pandemik COVID-19 pada ketika ini menampakkan angka turun naik namun ia bukan menjadi penghalang bagi rakyat untuk menyambut dan menyemarakkan hari kemerdekaan dan bulan kebangsaan.
Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah serta Jawatankuasa Penyelaras Khas Dun (JPKD) Senggarang dan Penggaram telah menganjurkan Program Sepakat@Komuniti Konvoi Semarakkan Kibaran Jalur Gemilang dalam suasana norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi, Konvoi Semarakkan Kibaran Jalur Gemilang ini diadakan bagi menyemai semangat patroitisme yang tinggi dan cintakan tanah air dalam kalangan golongan belia di sini.
“64 tahun negara kita mencapai kemerdekaan dan ia bukan sesuatu yang mudah yang mana ia memerlukan satu perjuangan dan pengorbanan.
“Jalur Gemilang merupakan simbol kemerdekaan dan sebagai anak bangsa, golongan belia harus menghargai dan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi untuk diwarisi oleh anak cucu mereka kelak,” katanya ketika ditemui pada pelepasan konvoi tersebut di Dataran Senggarang, di sini semalam.
Tambah beliau, walaupun konvoi ini diadakan dalam skala yang kecil namun penganjuran program ini dilihat dapat memperkukuhkan kerjasama strategik antara agensi dan JPKD dalam usaha menyemarakkan lagi aktiviti kibaran Jalur Gemilang serta sambutan Bulan Kebangsaan.
“Konvoi pada kali ini melibatkan 20 buah motosikal, 10 buah kereta, satu unit kenderaan Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat dan satu unit kenderaan Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Batu Pahat.
“Konvoi Semarakkan Kibaran Jalur Gemilang ini bermula di Petronas Tanjung Labuh dan berakhir di Dataran Senggarang,” ujarnya.
Pada program tersebut, para peserta konvoi turut menghulurkan bantuan pek makanan kepada 20 orang kurang upaya (OKU) di kawasan DUN Senggarang bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat pendemik COVID-19.
Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat turut mengagihkan 200 helai jalur Gemilang kepada orang ramai di lokasi yang dikunjungi para peserta konvoi untuk menyemarakkan kemeriahan sambutan bulan kebangsaan.
-NI-