Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Masyarakat Orang Asli Teruja Sambut Hari Kebangsaan 2021

By 1 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Intan Saziana/Muhammad Arief (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 1 Sep (Malaysiaaktif) – “Sebelum ini sambutan Hari Kemerdekaan hanya ditonton melalui kaca televisyen sahaja, namun pada tahun ini kami berpeluang merasai sambutan kemerdekaan di halaman kampung kami sendiri,” kata Tok Batin Kampung Cheros Pos Telanok Rizad Biyah apabila unit hebahan Jabatan Penerangan (JaPen) hadir menyantuni penduduk setempat dalam sambutan Hari Kebangsaan yang disambut semalam.

Menurut Rizad, penduduk menyambut baik aktiviti-aktiviti kenegaraan yang dianjurkan oleh jabatan tersebut dalam membantu para penduduk untuk lebih menghayati erti kemerdekaan dan meningkatkan semangat patriotik kepada negara yang tercinta.

“Merdeka bukan sekadar sambutan sahaja, tetapi kita perlulah merdeka sepenuhnya daripada sebarang pemikiran negatif dan sentiasalah bersangka baik demi keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

“Sambutan yang julung kali diadakan di sini sekurang-kurangnya membuka mata para penduduk terutamanya orang-orang muda agar lebih menghayati erti kemerdekaan dan menyemai semangat cinta akan negara,” ujarnya ketika ditemui di kampung tersebut, di sini semalam.

Ahli Parlimen Cameron Highlands (baju batik) mengedarkan Jalur Gemilang, bendera Negeri Pahang serta bantuan bakul makanan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands (baju batik) mengedarkan Jalur Gemilang, bendera Negeri Pahang serta bantuan bakul makanan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Datuk Mohd Nor, yang ditemui berkata walaupun negara masih bergelut dalam pandemik COVID-19, ia tidak menghalang rakyat untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui sambutan yang di adakan pada hari ini yang mana walaupun ianya disambut secara sederhana tetapi tetap meriah.

“Kemerdekaan yang ke-64 pada tahun ini sangat bermakna bagi kita sebagai rakyat Malaysia, walaupun seluruh dunia dilanda musibah COVID-19, namun janganlah kita lupa untuk mengingati erti sebenar sebuah kemerdekaan.

“Rakyat harus sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan mematuhi arahan kerajaan demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan di sini juga dimanfaatkan dengan edaran bantuan bakul makanan kepada setiap rumah di perkampungan Orang Asli Cheros bagi membantu meringankan beban penduduk kampung yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

-NI-

Tinggalkan komen anda