
Laporan/foto: Fasharina Kholil/Mohd Tarmizi (Sik)
SIK, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, hadir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gulau, di sini bagi meninjau keadaan sekitar dan melawat mangsa banjir dan berjanji bahawa kerajaan negeri akan memastikan kebajikan penduduk terbela.
“Saya berharap agar semua mangsa banjir bersabar dalam menghadapi dugaan ini dan kerajaan akan terus membantu serta memastikan semua mangsa mendapat keperluan secukupnya.
“Pada masa sama, saya berharap mangsa banjir memberi kerjasama kepada jabatan yang terlibat ketika berada di pusat pemindahan ini,” katanya ketika ditemui di PPS tersebut, disini semalam.
Menurut Sanusi, seramai 61 mangsa terdiri daripada 12 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Gulau selepas banjir kilat melanda tiga kampung iaitu Kampung Landai, Kampung Melaka dan Kampung Pinang malam tadi.
“Banjir kilat yang berlaku akibat hujan lebat berterusan selama lebih dua jam bermula daripada petang semalam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Beliau turut melawat rumah penduduk yang dinaiki air serta titi rosak di Kampung Perangkap serta Kampung Charok Senduk.
Terdahulu, Sanusi turut menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas seperti selimut, tilam serta peralatan mandi kepada mangsa banjir.
~RJ~