
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/MEDKOM
JOHOR BAHRU, 20 Sept (Malaysiaaktif) – Kerjasama antara kerajaan negeri dan Iskandar Investment Berhad (IIB) memberi peluang kepada 46 orang penduduk Kampung Ladang di Iskandar Puteri untuk memiliki tanah dan kediaman sendiri.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, rumah teres satu tingkat berkeluasan 1,000 kaki persegi ini membabitkan kos sebanyak RM16.3 juta dan dibina atas tanah seluas 6.66 ekar.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua 46 orang penerima projek perumahan Kampung Pendas Baru fasa dua yang dibina dengan cantik dan dikelilingi pemandangan hutan paya bakau.
“Jagalah kampung baru ini sebaik yang mungkin dan peliharalah alam semulajadi yang mengelilingi kawasan ini agar ia menjadi keunikan di bandaraya Johor Bahru,” katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan kunci Projek Perumahan Kampung Pendas Baru fasa dua, di sini, semalam.

Seramai 46 orang penduduk setinggan Kampung Ladang di Iskandar Puteri telah menerima kunci bagi Projek Perumahan Penduduk Kampung Pendas Baru Fasa 2.
Tambah beliau, projek perumahan ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, surau dan taman permainan.
“Saya juga ada berbincang dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri supaya dapat dibina sebuah pasar awam di sini untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan menjual ikan,” ujarnya.
Salah seorang penerima yang ditemui Abdul Rahim Jamani, 64, berkata beliau pernah membuat permohonan untuk memiliki tanah di tapak rumah yang lama tetapi tidak berjaya dan beliau berasa kecewa kerana sudah menetap di situ lebih 30 tahun.
“Tetapi saya bersyukur diberi peluang untuk memiliki rumah di projek perumahan baru ini yang dibina dengan cantik, tersusun dan memuaskan hati.
“Usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri menunjukkan keprihatinan mereka terhadap keluhan dan permasalahan rakyat,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani, Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Abdul Rahman Salleh, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB Datuk Khairil Anwar Ahmad.
-NI-