
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Sembilan melalui Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) akan melaksanakan pemberian suntikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus bagi individu yang belum mendapatkan vaksin.
Orang ramai boleh mendapatkan suntikan vaksin bermula 20 hingga 25 September ini di 10 pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan klinik kesihatan yang terpilih di setiap daerah di negeri ini.
Menteri Besar Aminuddin Harun, menerusi satu kenyataan rasmi berkata ini satu usaha bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini yang berumur lebih 18 tahun menerima suntikan vaksin dan seterusnya memastikan kadar jangkitan COVID-19 di negeri ini terus melandai.
“Pemberian vaksin secara terus ini hanya untuk warganegara Malaysia di Negeri Sembilan yang berumur 18 tahun ke atas dan tidak melibatkan rakyat dari negeri lain atau bukan warganegara.
“Orang ramai yang hadir secara jumpa terus tetapi tidak mendapat suntikan pada hari berkenaan kerana kehabisan vaksin akan diberi janji temu pada hari berikutnya,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini semalam.
Tambah beliau, mereka yang bergejala, kontak rapat dan dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan hadir secara jumpa terus.
“Selain itu, ia untuk mereka yang telah mendaftar MySejahtera tetapi belum mendapat tarikh janji temu atau mereka yang tidak mendaftar lagi dengan MySejahtera.
“Bagi rakyat yang telah menerima temu janji melalui MySejahtera tidak dibenarkan datang secara jumpa terus dan perlu mematuhi tarikh temu janji yang diberikan oleh MySejahtera,” katanya.
Menurut beliau, kaedah pelaksanaan pemberian suntikan secara jumpa terus ini adalah berdasarkan kepada konsep ‘siapa dahulu, dia dapat’ dan pemberian vaksin ini bergantung kepada bekalan vaksin harian di semua PPV yang terlibat.
“Orang ramai di negeri ini yang belum menerima suntikan vaksin boleh hadir secara terus di mana-mana PPV dan klinik kesihatan yang disenaraikan seperti berikut bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang,” katanya.
-FF