
Laporan/foto: Hamisah Sumar (Johor)/JaPen
JOHOR BAHRU, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Golongan orang kurang upaya (OKU) disaran untuk merebut insentif yang disediakan kerajaan.
Pegawai Penerangan Daerah Mersing Rashid Ibrahim, berkata golongan ini perlu merebut segala insentif dan peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan contohnya dengan mendaftar kad OKU.
“Golongan ini merupakan golongan istimewa yang memiliki kebolehan, keterampilan, bakat dan kepintaran dalam pelbagai bidang seperti manusia normal yang lain.
“Namun begitu terdapat segelintir daripada golongan ini yang berasa malu dan terpinggir berikutan kekurangan yang ada pada diri sehingga menyebabkan mereka hilang keyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat.
“Apabila mereka telah mendaftar pelbagai keistimewaan akan diperolehi termasuklah bantuan kewangan, potongan diskaun jika menggunakan pengangkutan awam, bantuan elaun pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, diskaun yuran pengajian di universiti awam serta pelepasan cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya pada program Cambah Minda: OKU Membina Keyakinan Diri Dalam Mendepani Pandemik COVID-19 secara maya di laman Facebook Jabatan Penerangan Negeri Johor, semalam.
Tambah beliau, pelbagai latihan kemahiran telah disediakan oleh kerajaan untuk golongan OKU, antaranya kemahiran membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok serta kraf tangan di Pusat Giat MARA, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat (JARO) dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
“Di sini, mereka akan dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya dapat berdikari dan boleh bekerja atau membuka perniagaan sendiri.
“Setelah mereka berjaya dalam bidang yang diceburi, mereka bukan sahaja dapat menyumbang kepada negara malah mampu menyara hidup dan keluarga tanpa bantuan orang lain,” ujarnya.

Pengarah Penerangan Negeri Johor Naim Fahmi Ahmad Tajuddin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Rashid (tengah) selepas tamat program.
Beliau berkata, pihak kerajaan juga turut membantu dengan memberi bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan agensi yang berkaitan.
“Kita tidak perlu berasa malu jika tidak sempurna seperti orang lain dan jangan sesekali berasa rendah diri dengan kekurangan yang dimiliki.
“Anda tidak seharusnya menjadikan ketidaksempurnaan itu penyebab meletakkan anda sentiasa berada di barisan belakang,” katanya.
Rashid memaklumkan bahawa, pihak kerajaan telah berusaha memberi bantuan modal kepada golongan OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing.
“Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai peluang kepada mereka yang berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi yang mana sistem pendidikan khas ini telah diperluaskan kepada mereka yang berada di luar bandar.
“Kemudahan pendidikan khas ini telah ditambah baik malah pihak kerajaan juga telah menyediakan tempat atau kuota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada golongan OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia,” tambahnya.
Beliau berharap dengan peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU dalam mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.
-NI-