Skip to main content
Berita UtaraKedahMA

Pelajar Tadika Fasih Bertutur Dialek Sik Tarik Perhatian

By 12 September 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Hanan Abd Ghani (Sik)

SIK, 12 Sept (Malaysiaaktif) – Baru-baru ini tular sebuah video di media sosial kepetahan seorang kanak-kanak bercakap dalam dialek Sik sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Gelagat dan kepetahan Nur Iylia Insyirah Mohd Anas, pelajar Tadika KEMAS Kampung Hujung Bandar ini telah menarik perhatian ramai tambahan pula dia begitu berani dan fasih menggunakan dialek tersebut.

Video tersebut telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook dengan nama Omar Yaacob dan telah dikongsi oleh lebih 464 pengguna Facebook yang lain.

Tangkap layar video tular yang meraih perhatian ramai termasuklah Facebook Pengguna Bahasa Baling Tegar.

Tangkap layar video tular yang meraih perhatian ramai termasuklah Facebook Pengguna Bahasa Baling Tegar.

Menjengah di ruangan komen, ramai yang memuji keberanian kanak-kanak tersebut serta dia tidak malu bertutur dalam dialek tempatan meskipun baru berusia enam tahun.

Nur Adilah Yahya, ibu kepada kanak-kanak tersebut berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan video anaknya yang dirakam bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah tular di Facebook.

“Saya merakam video tersebut untuk PdPR setelah diminta oleh guru tadika anak saya memandangkan Iylia terpilih sebagai wakil pelajar di tadikanya bagi menyampaikan ucapan kemerdekaan dan ucapan tersebut perlu disampaikan dalam dialek tempatan,” katanya ketika dihubungi di rumahnya, Kampung Lubuk Besar, di sini semalam.

Adilah tidak menyangka sama sekali, video terus tular serta meraih perhatian ramai termasuklah Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, yang turut berkunjung ke rumahnya bagi berjumpa dengan anaknya.

“Setelah tular, ramai rakan-rakan serta sanak saudara yang menghubungi saya dan ada yang memberikan hadiah serta sumbangan sebagai tanda sokongan kepada Iylia.

“Ada juga komen-komen yang ditinggalkan di Facebook yang memberi semangat dan kata-kata peransang agar Iylia terus menggunakan dialek tersebut serta jangan merasa malu untuk bercakap dialek Kedah Ulu itu walau di mana jua berada,” ujarnya.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman , memberi sedikit sumbangan ketika mengunjungi rumah adik Iylia semalam.

Ahmad Tarmizi (kanan) memberi sumbangan ketika mengunjungi rumah Iylia semalam.

Jelas Adilah lagi, anak tunggalnya itu tidak kekok bercakap dalam dialek tersebut kerana telah biasa menggunakan bahasa tersebut ketika di rumah dan ketika dalam rakaman video tersebut, Iylia  menggunakan dialek yang lebih dalam serta jarang digunakan oleh generasi muda pada masa kini.

“Walaupun agak sukar menyebut beberapa perkataan namun Iylia tidak berputus asa serta berusaha bersungguh-sungguh,” ujarnya lagi.

Daerah Sik, Baling serta Padang Terap sememangnya terkenal dengan loghat Kedah Ulu, sesuai dengan kawasannya di sempadan bercampur di antara loghat Utara, Bahasa Siam dan loghat Kelantan namun dialek Kedah Hulu agak berlainan dengan dialek Kedah walaupun tinggal di dalam negeri yang sama.

~ RJ~

Tinggalkan komen anda