Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pemulihan Harga Minyak Beri Manfaat kepada Bank-Bank Islam – Moody’s

By 22 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Bank-bank Islam di Malaysia dijangka mendapat keuntungan daripada kenaikan harga minyak ketika ekonomi global kembali pulih, kata Moody’s Investors Service.

Dalam laporannya, agensi penarafan itu berkata negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), sebagai pengeluar hidrokarbon utama dan Malaysia dengan sebahagian besar pendapatan kerajaan diperoleh daripada pengeluaran minyak, akan mendapat manfaatnya.

Moody’s yang mengunjurkan ekonomi di rantau GCC, Asia Selatan dan Asia Tenggara akan kembali berkembang tahun ini, menyatakan ramalan harga minyak jangka sederhana pada masa ini mengandaikan minyak mentah semerta Brent akan berada pada purata US$45 hingga US$65 setong, meningkat daripada US$42 setong tahun lepas.

“Dengan tindakan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengubah jumlah pengeluaran awal sebelumnya, pendapatan minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan kemampuan kerajaan untuk merangsang ekonomi bukan berasaskan minyak mereka. Sektor bukan minyak menguasai sebahagian besar pendedahan pinjaman bank,” katanya.

Bagaimanapun, Moody’s berkata di kebanyakan pasaran perbankan Islam utama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak mungkin kembali ke tahap pra COVID-19 hingga 2022.

Sementara itu, Moody’s berkata kualiti aset runcit di Malaysia akan kekal kukuh kerana biro kredit yang mapan dan rekod prestasi taja jamin yang berhemah dalam kalangan bank.

Tambahnya, walaupun bank-bank Islam memberi tumpuan terutamanya pada pasaran runcit, pembiayaan korporat tetap menjadi komponen penting dalam pendedahan kredit mereka, termasuk kepada sektor pembinaan, kontrak dan hartanah yang sensitif terhadap keyakinan.

Bank-bank Islam di Malaysia dan Indonesia, dalam pada itu, memiliki pendedahan yang cukup besar terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang peka ekonomi, katanya.

Pinjaman PKS di Malaysia menyumbang 12 peratus daripada jumlah pinjaman Islam pada 30 Jun 2021, tambah Moody’s.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda