
Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani (Seberang Perai Selatan)
PULAU AMAN, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) tetap setia menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan meskipun di sebuah pulau kecil yang dikenali sebagai Pulau Aman yang terletak di dalam daerah Seberang Perai Selatan.
Pegawai Penerangan Daerah SPS Farhani Ismail, berkata Pulau Aman merupakan di antara lokasi yang menjadi pilihan untuk program seperti ini diadakan sambutan pada setiap tahun bersama-sama dengan penduduk setempat.
“Pemimpin dan masyarakat setempat di Pulau Aman tetap bersemangat mengibarkan bendera Jalur Gemilang di persekitaran pulaunya.
“Walaupun penduduk disini berada luar dari kawasan bandar mereka tetap tidak ketinggalan menyambut bulan Kebangsaan dalam suasana norma baharu,” katanya ditemui setelah selesai mengedarkan bendera melalui program Info on Wheels Merdeka (IOW) di sekitar pulau tersebut, di sini semalam.
Tambahnya, penduduk sememangnya teruja dengan sambutan Hari Kebangsaan dan disebabkan itulah lokasi ini menjadi tumpuan untuk melaksanakan aktiviti.
Pengerusi MPKK Pulau Aman Saibi Majid, berkata pihaknya sentiasa memberikan kerjasama kepada jabatan dan agensi kerajaan yang ingin memasuki pulau ini.
“Namun perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan sebarang aktiviti yang dilaksanakan perlu mendapat kebenaran dari pihak berkuasa tempatan.
Menurut Saibi, Pulau Aman merupakan kawasan hijau iaitu tiada kes COVID-19 yang dicatatkan sehingga kini dan diharapkan dapat mengekalkan status ini.
“Saya turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.
-ii-