
Laporan/foto: Sharifah Ithnin/Muhammad Hafizul Adzahari (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah menerusi Program Info On Wheels Merdeka melawat ke beberapa buah balai polis di dalam daerah.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah Salina Hasan@Abd. Rashid, program ini sememangnya dirancang khas untuk menghargai petugas barisan hadapan terutama anggota polis yang sentiasa memberi kerjasama dan komitmen yang jitu dalam setiap penganjuran program Jabatan Penerangan.
“Program bertujuan untuk menyerahkan kek penghargaan buat petugas hadapan yang telah banyak berkorban tenaga bagi memastikan rakyat patuh kepada SOP sepanjang tempoh pandemik yang masih menular.
“Lapan buah balai polis dikunjungi dan kami menyerahkan kek sebagai simbolik penghargaan kepada mereka, jaga dan pengorbanan mereka kepada masyarakat dan negara amat besar lebih-lebih lagi dalam mengekang penularan COVID-19.
“Cabaran berbulan-bulan, tiada cuti dan masa bersama keluarga dikorbankan demi negara membuatkan kami terharu, walaupun sumbangan kek ini nampak kecil namun besar harapan kami menghargi jasa mereka,” ujarnya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, di sini baru-baru ini.
Ketua Balai Polis Daerah Alor Gajah Supt. Arshad Abu, berkata pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih dan amat berbesar hati menerima kunjungan daripada pihak Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah.
“Ini merupakan satu-satunya jabatan yang memberi penghargaan sebegini kepada kami, saya berasa amat terbaru dan berharap silaturahim ini akan berkekalan selamanya,” ujarnya.
Lapan balai polis yang dikunjungi sempena program; IPD Alor Gajah, Balai Trafik Alor Gajah, Balai Durian Tunggal, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru, Pulau Sebang, Hutan Percha dan Balai Polis Simpang Empat.
-FF