
Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)/Pejabat Kesihatan Daerah Marang
MARANG, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 2,300 orang banduan di Penjara Marang mula menerima suntikan vaksin mulai semalam.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong, program tersebut bertujuan memastikan semua banduan di Penjara Marang menerima suntikan Vaksin COVID-19 dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selaras dengan hasrat kerajaan supaya tiada golongan tercicir sekali gus imuniti kelompok dapat dicapai.
“Hasrat kerajaan negeri untuk membendung penularan COVID-19 di penjara dapat dilaksanakan melalui program ini selepas dilaporkan sebanyak 364 kes positif di Penjara Marang sejak penularan berlaku,” katanya semasa meninjau pelaksanaan program vaksinasi tersebut, di sini semalam.
Tambah beliau, kesemua penghuni akan menerima suntikan sepanjang program berlangsung.
“Setakat ini, seramai 775 orang banduan telah divaksin dalam program yang bermula semalam dan baki banduan lain yang belum divaksin akan dilaksanakan hari berikutnya,” katanya.

Salah seorang petugas kesihatan sedang memberi penerangan berkenaan vaksin yang diberikan kepada Datuk Dr. Kasemani Embong.
Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Marang Dr. Tan Sin Yew, turut mengambil kesempatan meninjau keadaan dan suasana di Penjara Marang untuk memastikan semua penghuni menjalani kehidupan dalam keadaan sejahtera dan bebas dari wabak ini.
-ii-