
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/PERHILITAN
PUTRAJAYA, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) menahan dua orang suspek warganegara Malaysia kerana melakukan jenayah yang melibatkan penyeludupan hidupan liar.
Menurut kenyataan media jabatan tersebut semalam, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui 50 unit disyaki sumbu badak yang dianggarkan bernilai RM30 juta dan turut dirampas adalah sebuah lori dan dokumen berkaitan penyeludupan sumbu badak.
“Kesemua 50 unit disyaki sumbu badak ini akan dijalankan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Makmal Forensik Jabatan PERHILITAN bagi mengenal pasti sumber asal sumbu badak tersebut sama ada ia daripada spesies badak tempatan atau luar negara.
“Walau bagaimanapun, setakat ini sumbu badak tersebut adalah disyaki diseludup dari luar negara dan kesemua suspek akan disiasat dan jika disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
PERHILITAN juga memaklumkan operasi tangkapan ini dijalankan ini hasil daripada aktiviti risikan secara berterusan oleh unit khas dan kejayaan hasil rampasan kali ini adalah yang terbesar dalam tempoh lima tahun bagi sitaan sumbu badak.
“Spesies-spesies badak serta bahagiannya adalah “dilindungi” dan “dilindungi sepenuhnya” di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan liar 2010 [Akta 716] dan turut disenaraikan bawah Apendiks I dalam Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam [Akta 686] di mana spesies-spesies ini tidak boleh diperdagangkan sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial.
“Pihak jabatan memberi amaran tegas kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram dan jenayah hidupan liar agar menghentikan serta merta aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.
-RI