Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

PL Semarakkan Bulan Kebangsaan dengan Pelbagai Pertandingan Dalam Talian

By 17 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan di Labuan dengan pelbagai program yang diadakan secara dalam talian dan tertutup.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman, pertandingan-pertandingan yang bermula sejak 21 Ogos hingga 16 September itu adalah sebagai pengisian untuk memastikan Bulan Kebangsaan masih diraikan dalam norma baharu.

“Sungguhpun sudah dua tahun kita tidak dapat menganjurkan sebarang program secara fizikal sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, namun semangat cintakan tanah air janganlah luntur daripada sanubari kita semua,” katanya semasa Majlis Ppenyampaian hadiah pertandingan yang dianjurkan di Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian PL, di sini semalam.

Persembahan dari pemenang Naib Johan Pertandingan Tarian Challenge.

Persembahan dari pemenang Naib Johan Pertandingan Tarian Challenge.

Jelasnya, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mei lalu, PL menganjurkan beberapa program secara dalam talian untuk mengajak penduduk Labuan menyertainya dengan menghantar gambar atau video aktiviti bersama keluarga dengan tujuan untuk mengurangkan rasa tekanan.

“Melihat kepada penyertaan yang memberangsangkan PL meluaskan program atas talian ini dengan menganjurkan aktiviti dan pertandingan yang diadakan sepanjang Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

“Selain menarik penyertaan, pendekatan secara dalam talian ini juga memberi manfaat promosi secara langsung dan hebahan maklumat yang sahih kepada rakyat menerusi saluran media rasmi PL dan kerajaan,” katanya.

Fary (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Naib Johan Pertandingan Tarian Challenge.

Fary (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Naib Johan Pertandingan Tarian Challenge.

Pertandingan-pertandingan tersebut katanya bukan sahaja menonjolkan bakat yang dimiliki oleh anak tempatan namun boleh mempromosikan keunikan Labuan kepada negeri dan negara lain.

“Penyertaan program dalam talian seperti ini juga mampu memelihara minda dan jiwa yang sihat daripada belenggu pandemik COVID-19 selain dapat melepas kerinduan ahli keluarga yang menyaksikan peserta di video atau gambar yang dipaparkan,” jelasnya.

Tambah Fary, pertandingan yang dianjurkan ini juga merupakan percubaan Jabatan Pelancongan PL untuk melihat respon penyertaan warga Labuan selain menilai keupayaan rangkaian talian internet sekali gus menjadi panduan untuk menganjurkan aktiviti secara dalam talian dalam skala yang lebih besar.

-RI

Tinggalkan komen anda