
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)/MEDKOM
PONTIAN, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Program Bina Rumah Ihsan Makmur Johor (RIMJ) merupakan agenda keempat Belanjawan Johor 2021 di bawah Prasarana Johor yang merupakan tambahan kepada pelaksanaan Rumah Mesra Rakyat.
Peruntukan pembinaan 400 unit RIMJ ini telah dibentangkan oleh Menteri Besar semasa Belanjawan Johor yang lalu.
Menurut penerima bantuan RIMJ Norkamala Lamasak, 42, beliau bersyukur kerana impian untuk memiliki rumah sendiri telah tercapai.
“Pada ketika ini, saya menyewa rumah di Kampung Sanglang bersama-sama ibu, serta anak saudara.
“Sebelum ini saya memang berniat untuk memiliki rumah sendiri kerana kebetulan keluarga mempunyai tanah, namun disebabkan saya hanya bekerja sendiri dan keadaan kewangan yang agak terbatas untuk menampung keperluan keluarga, niat tersebut terpaksa dipendamkan sahaja,” katanya ketika ditemui selepas sesi kunjungan Menteri Besar ke kediamannya, di sini semalam.
Tambahnya, beliau bersyukur dengan adanya program seumpama ini impian untuk memiliki rumah sendiri setelah 10 tahun menunggu akhirnya tercapai dan sudah tertulis ia merupakan rezeki kami dalam tempoh COVID-19 ini.
“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar dan kepimpinan daerah serta semua yang membantu merealisasikan impian kami sekeluarga,” ujarnya.
Seorang lagi penerima yang ditemui Rohani Abd. Samad, 46, berkata beliau telah memohon bantuan untuk membina rumah di atas tapak bersebelahan rumah ibunya di Kampung Parit Ramunia Mukim Sungai Pinggan sejak beberapa tahun yang lalu.
“Saya dan tujuh orang ahli keluarga lain kini menetap di rumah ibu.
“Dengan bantuan yang bakal diterima, rumah kami akan dibina bersebelahan dengan rumah ibu bagi memudahkan saya untuk menjaganya yang sudah berusia dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan dan inisiatif yang disediakan dalam membantu rakyat di negeri ini,” katanya.
Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, turut menyempurnakan cabutan undi secara maya bagi kerja menyelenggara jalan di seluruh negeri Johor yang melibatkan 40 kerja selenggara jalan di daerah Pontian, Muar Tangkak, Segamat, Batu Pahat dan Kluang dengan anggaran peruntukan sebanyak RM7 juta.
Program tersebut merupakan inisiatif Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) iaitu anak syarikat milik penuh kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat konsesi bagi membantu kontraktor-kontraktor di negeri ini.
-NI-