
Laporan/foto: Syafiq Saad/Husni Mubarak(Kuala Nerang)
KUALA NERANG, 20 Sep (Malaysiaaktif) – Rezeki seorang penerima vaksin apabila mendapat hadiah sebuah motosikal yang berharga RM5000.00 setelah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di sini.
Mohd Isham Md Isa, 44, berjaya membawa pulang sebuah motosikal selepas menjadi penerima vaksin yang ke 49, 400 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tunku Putra, di sini semalam.
Pesawah yang menetap di Kampung Seberang, Padang Sanai itu berkata dia tidak menyangka dapat memenangi hadiah tersebut setelah mendapatkan vaksin dos pertama pada 10 September 2021, beberapa hari yang lepas.
“Angka tersebut dipilih sebagai nombor bertuah berdasarkan jumlah populasi dewasa yang perlu divaksin di daerah Padang Terap,” katanya ketika ditemui di PPV tersebut, di sini semalam.
Tambahnya, ini pertama kali dia memenangi hadiah yang begitu berharga dan tidak bercadang untuk menjual motosikal itu, sebaliknya menggunakannya dalam kehidupan sehariannya.
“Saya berterima kasih kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Padang Terap yang memberi galakan kepada penduduk di sini untuk mengambil vaksin COVID -19 dan ianya harus dipuji,” katanya selepas menerima hadiah berkenaan yang disampaikan Ahli Parlimen Padang Terap merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Dalam program yang sama, badan korporat turut menghulurkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan serta kepada pesakit COVID-19 yang dikuarantin dan bantuan makanan ini disediakan selama 15 hari berturut-turut bermula semalam.
~ RJ~