
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 21 Sep (Malaysiaaktif)– Seramai 50 orang pekerja penghantaran makanan (p-hailing) dan tujuh pengusaha bas sekolah menerima sumbangan petrol dan makanan percuma sempena program pandu lalu Malaysia Prihatin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura Wan Hapandi Wan Nik, berkata sumbangan yang diberikan sebagai tanda solidariti kepada mereka yang sangat penting pada masa negara dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.
“Program ini merupakan anjuran bersama Pejabat Perpaduan Daerah Dungun dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia(YADIM) Negeri Terengganu yang turut mendapat sokongan daripada Stesen Petron Kampung Batu 48 serta McDonald Dungun.
“Selain pemberian minyak percuma serta sumbangan dari pelbagai pihak yang terlibat, kita turut melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui menghulurkan sumbangan di stesen minyak tersebut, di sini baru-baru ini.
Menurut Pegawai Perpaduan Daerah Dungun, Tengku Mazilawati Tengku Mohamad, walaupun sambutan dalam keadaan sederhana namun pihak Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Zon Sura dapat menzahirkan tanda terima kasih kepada pekerja penghantaran makanan dan menaikkan semangat patriotik serta kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.
“Pekerja penghantaran makanan juga merupakan kumpulan penting dalam memastikan penghantaran makanan selamat diterima oleh pelanggan,” katanya.
-ii-