
Laporan/foto: Nurunnadia Abdullah (Kluang)
KLUANG, 10 Sept (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kluang dengan kerjasama Pejabat Daerah Kluang mengadakan program Sepakat@Komuniti “Road to Hari Malaysia 2021” bersempena 58 tahun pembentukan Malaysia.
Menurut Pegawai Daerah Kluang Jamaluddin A. Hamid, program ini merupakan medium terbaik bagi menanamkan rasa cinta yang lebih mendalam terhadap negara.
“Selain itu, melalui penganjuran seumpama ini juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang mengibarkan Jalur Gemilang yang perlu ada dalam diri tanpa mengira masa, malah tindakan itu seharusnya lebih meriah dengan ketibaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Walaupun pada ketika ini negara masih dibelenggu dengan pandemik COVID-19 ia bukan penghalang untuk menyemarakkan lagi sambutan ini dalam suasana norma baharu,” katanya semasa ditemui ketika merasmikan program ini di lobi utama Pejabat Daerah Kluang, di sini, semalam.

Pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan secara pandu lalu dan penyerahan bungkusan makanan serta edaran bahan penerbitan kenegaraan.
Beliau juga turut menyeru masyarakat di daerah ini yang masih belum menerima suntikan vaksinasi agar segera untuk mendaftar atau mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara walk-in demi membentuk imuniti kelompok di daerah Kluang.
Pada program ini, sebanyak 30 buah kenderaan dari pelbagai jabatan kerajaan di daerah Kluang turut mengambil bahagian yang mana ia turut diserikan dengan pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan-kenderaan jabatan secara pandu lalu, selain agihan bungkusan makanan, poster dan bahan-bahan penerbitan kenegaraan.
Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam suasana norma baharu, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menerusi Pejabat Penerangan Daerah Kluang juga turut melaksanakan program Info On Wheels (IOW) di sekitar daerah Kluang sepanjang bulan kebangsaan.
-NI-