
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saifullah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Orang ramai begitu bersemangat dan teruja menyambut Hari Malaysia pada tahun ini, meskipun meraikannya dengan penuh sederhana dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, sambutan Hari Malaysia pada kali ini sedikit berbeza dengan sambutan pada tahun sebelum ini berikutan negara masih di dalam situasi pandemik COVID-19.
“Meskipun negara masih di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tetapi semangat untuk menyambut hari bersejarah ini perlu dilaksanakan sebagai satu simbolik meraikan kemerdekaan negara,” katanya ketika melancarkan Sepakat@Komuniti, Kempen Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di Pasar Batu Enam, di sini semalam.

Khairuddin (tengah) berharap rakyat Malaysia sama-sama menjayakan ‘Keluarga Malaysia’ dalam usaha meningkatkan keharmonian antara rakyat Malaysia.
“Bukan itu sahaja, dalam kita teruja menyambut kempen pada hari ini, kita perlu tekankan kepada rakyat bahawa perlunya sama-sama menjayakan ‘Keluarga Malaysia’, yang mana bersama-sama memastikan negara ini terus mengekalkan perpaduan di antara satu sama lain,” katanya.
Bagi peniaga keropok kering, Che Wan Shahira Che Wan Salim, 25, berkata dia begitu teruja dan bersemangat meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, meskipun hanya dibuat di dalam pasar.
“Kami ini peniaga, setiap hari perlu buka gerai untuk berniaga dan selalu tidak berpeluang untuk pergi ke tempat-tempat sambutan di bandar.
“Justeru, dengan adanya kempen seperti ini di pasar ia sedikit sebanyak mengembirakan peniaga-peniaga di sini.
“Kempen yang dilaksanakan ini, secara tidak langsung dapat menyemai semangat cintakan negara dan memberi suntikan kesedaran kepada orang ramai untuk terus menghargai kemakmuran negara tetapi dalam masa yang sama perlu mematuhi SOP, termasuk memakai pelitup muka, tidak berkumpul hingga mengabaikan penjarakan fizikal,” katanya ketika ditemu ramah ketika program berlangsung.
Sementara itu, bagi Syed Ahmad Syed Omar, 68, yang menjalankan perniagaan peruncitan berkata beliau terlalu gembira dan bersemangat untuk menyertai kempen yang dilaksanakan berkenaan.
“Sehari sebelum program ini, saya telah meminta pihak pengerusi pasar untuk memasang beberapa helai Jalur Gemilang di kedai saya.

Syed Ahmad memasang beberapa helai Jalur gemilang di kedainya sebagai tanda sokongan kepada kempen Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, semalam.
“Saya menjadi bertambah semangat apabila kakitangan Pejabat Daerah Kuala Nerus mengagih-agihkan bendera dan banting berkaitan Sambutan Hari Kebangsaan Negara dan merasakan program seperti ini perlu diteruskan di masa akan datang dan saya berharap dapat menyertainya semula pada tahun depan,” katanya.
-ii-