
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)
TRONG, 16 Sep (Malaysiaaktif) – DUN Trong dipilih sebagai penutup Sambutan Hari Malaysia bagi peringkat Daerah Larut Matang dan Selama pada hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Jamilah Zakaria berkata Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Sungai Kerang dipilih sebagai lokasi terakhir bagi sambutan penutup Hari Malaysia bagi tahun 2021 kali ini.
“Pihak ADUN Trong sangat berbesar hati menerima kunjungan daripada Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama yang mengadakan program Sepakat Merdeka@Komuniti dan penutupan sambutan Hari Malaysia bagi Peringkat Daerah Larut Matang dan Selama.
“Buat pertama kalinya DUN Trong menjadi tuan rumah bagi penutup Sambutan Hari Malaysia disini bagi peringkat daerah dan program sebegini turut mendapat sambutan yang menggalakan daripada masyarakat setempat,” ujarnya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Toh Johan bagi sesi penyampaian hadiah kepada pemenang, di sini hari ini.
Tambahnya, program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama turut mengadakan Pertandingan Pakaian Tradisional Kaum di Malaysia Ibu dan Anak Prasekolah serta Pertandingan Mewarna Prasekolah bagi peringkat DUN Trong.
“Program ini turut disertai oleh beberapa buah sekolah iaitu Prasekolah Sekolah Kebangsaan Toh Johan, Sekolah Kebangsaan Temerlok dan Sekolah Kebangsaan Permatang Raja.
“Pertandingan ini juga telah diadili oleh beberapa pegawai yang sangat mahir dan mempunyai pengalaman daripada segi penjurian pemarkahan supaya keputusan yang telah dibuat tidak berat sebelah,” katanya.
~RJ~