
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Pihak polis menumpaskan satu sindiket curi dan jual lori yang beroperasi sejak enam bulan lalu selepas tiga dalangnya berjaya ditangkap.
Kejayaan menerusi Operasi Lejang pada 18 September lalu adalah hasil maklumat orang ramai sehingga berjaya merampas lori-lori dan jentera berat bagi menyelesaikan beberapa kes di sekitar Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata tiga suspek warga tempatan berusia 39 hingga 41 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
“Ahli sindiket akan mencuri lori-lori dan dalam perjalanan akan membuang sistem kedudukan global (GPS) dan mencari pembeli.

Peralatan yang digunakan ahli sindiket untuk mengubahsuai nombor casis dan nombor enjin lori-lori yang dicuri.
“Setelah itu mereka akan mengubahsuai nombor casis serta nombor enjin dengan nombor lain untuk kegunaan sendiri dan pihak ketiga.
“Ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 22 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam sidang media di sebuah bengkel kenderaan, di sini hari ini.
Katanya, nilai lori-lori di pasaran berharga sehingga RM90,000 namun ianya dijual murah sehingga mencecah RM7,000 sahaja.
‘Ahli sindiket akan mengekori lori-lori yang disasarkan sebelum bertindak mencurinya.
“Pencuri ini melarikan lori tersebut atas kelekaan pemandu lori seperti meninggalkan lori mereka tanpa mematikan enjin untuk membeli minuman.

Abd Jalil melihat keadaan dalam bengkel yang digunakan ahli sindiket untuk mengubahsuai dan meleraikan komponen lori-lori yang dicuri.
“Lori yang dicuri seterusnya akan dibawa ke bengkel di Rawang ini untuk diubah suai sebelum dijual dengan harga yang murah daripada pasaran,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berjaya merampas 15 buah lori, sebuah foklif dan dua bongkah enjin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2.8 juta.
“Sebuah lori yang mengandungi pelbagai jenis kiriman syarikat e-dagang yang dilaporkan hilang sebelum ini turut ditemui.
“Diminta mereka yang memesan barangan ini agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak atau JSJ Bukit Aman.
“Polis juga sedang giat mengesan saki baki ahli kumpulan ini dan menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan,” jelasnya.
-RI