
Laporan/foto: Surega Vasuthevan (Melaka Tengah)/Facebook Sulaiman Md Ali
MELAKA, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, telah melancarkan Majlis ‘Dana Bantuan Kasih Niaga’ kepada sepuluh penerima mengikut daerah.
Inisiatif Dana Bantuan Kasih Niaga ini telah diumumkan oleh kerajaan negeri dalam Belanjawan 2021 Negeri Melaka sebanyak RM1 juta bagi meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan rakyat Negeri Melaka agar mereka terus maju ke depan dan meningkatkan saingan dalam pengusaha yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 ini.
Menurut Ketua Menteri Melaka, sebanyak 1287 permohonan Dana Bantuan Kasih Niaga telah diterima oleh Kerajaan Negeri Melaka iaitu sebanyak 781 permohonan dalam Fasa 1 manakala menerima sebanyak 506 permohonan dalam Fasa 2.
“Setakat Ogos 2021, Kerajaan Negeri telah meluluskan 446 permohonan bantuan ini yang melibatkan peruntukkan sejumlah RM 446,000 selain daripada itu, 554 permohonan masih dalam pertimbangan dan akan diluluskan dalam masa yang terdekat ini.
“Saya berharap bantuan ini dapat mengurangkan kesusahan yang dialami usahawan di negeri Melaka dalam menghadapi situasi pandemik dan juga norma baharu dalam kehidupan mereka,” ujarnya ketika berucap di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, di sini semalam.
Tambah beliau, bagi penerima yang berjaya Dana Bantuan Kasih Niaga akan disalurkan terus ke dalam akaun bank penerima dan jika ada sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Daerah.
-FF