Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tiga Lelaki Bersenjata Parang Samun Kedai Emas

By 9 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Fb Asal Gombak

GOMBAK, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Sebuah kedai emas di Simpang Tiga Batu Enam di sini disamun tiga lelaki dipercayai bersenjatakan parang dalam kejadian yang berlaku semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata dalam kejadian 6.15 petang itu suspek dikatakan menyerbu ke dalam premis dan melarikan sejumlah barang kemas.

“Dua orang suspek masuk ke bahagian rak pameran barang kemas dan mengambil pelbagai jenis barang kemas sementara seorang lagi suspek menunggu di pintu masuk utama sambil memegang sebilah parang.

“Salah seorang suspek telah menumbuk bahagian muka mangsa iaitu pemilik premis sehingga mangsa mengalami kesakitan di bahagian muka.

“Suspek telah membawa lari pelbagai jenis barang kemas, anggaran kerugian lebih kurang RM200,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga orang suspek memakai topi keledar yang menyamun kedai emas di Simpang Tiga, Gombak semalam.

Tiga orang suspek memakai topi keledar yang menyamun kedai emas di Simpang Tiga, Gombak semalam.

Zainal berkata, ketiga-tiga suspek memakai topi keledar berwarna hitam, merah dan biru melarikan diri dengan menggunakan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15.

“Kesemua suspek menutup muka dengan cara memakai topi keledar ‘visor’ gelap dan usaha mengesan suspek telah digerakkan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebat,” jelasnya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi seminit memaparkan tiga orang lelaki memakai topi keledar dan bersenjatakan parang menyerbu masuk ke dalam sebuah kedai emas.

-RI

Tinggalkan komen anda